ENTRI 13 - SHAHNON AHMAD : RANJAU SEPANJANG JALAN

Selamat sejahtera, hari ini saya akan memperkenalkan seorang penulias sastera yang terkenal iaitu Shahnon Ahmad.

 


    Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad juga dikenali dengan nama penanya, Juwahir dan Tutang, dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, sebuah kampung pedalaman Sik, Kedah Darulaman. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 26 Disember 2017 dalam usia 84 tahun. Beliau mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an dan telah muncul sebagai penulis yang bakat dalam masa 10 tahun. Beliau merupakan seorang penulis prolifik yang menghasilkan karya kreatif khususnya cerpen dan novel serta ulasan artikel dan terjemahan. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negara yang kedua pada 9 Oktober 1982.

 


    Novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ adalah salah satu karya daripada Shahnon Ahmad yang diterbitkan pada tahun 1966 dan mempunyai sebanyak 188 halaman. Novel ini banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah. Latar belakang novel ini merupakan kampung Shahnon Ahmad, beliau ingin membawa pembaca menghayati dan menginsafi keperitan hidup dan kemiskinan dalam golongan petani pada masa dahulu agar generasi baharu dapat sedar dan insaf akan betapa susah untuk seseorang mendapatkan sesuap nasi.

 

    Kisah ini bermula dengan kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya, Jeha bersama tujuh orang anak gadis mereka iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Mereka berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung yang merupakan satu kepentingan utama untuk kehidupan mereka. Hidup mati keluarga mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil padi. Lahuma sebagai ketua keluarga memberi impak yang besar kepada keluarganya. Malangnya, Lahuma kecundang akibat kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya. Demi keluarganya, Jeha terpaksa memikul tanggungjawab yang besar dan menghadapi cabaran dan rintangan dalam mengusahakan sawah peninggalan suaminya. Namun, tenaga Lahuma tidak dapat terganti walaupun dengan gabungan tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.

    Akhirnya, Jeha tidak dapat bertahan dengan kesusahan yang diharungi sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dang burung-burung menyebabkan Jeha tidak keruan dan Jeha menjadi gila akibat dugaan yang datang tanpa henti semasa Jeha mengusahakan sawahnya. Setelah Jeha menjadi gila dan dihantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak, anak sulung kepada Lahuma dan Jeha, Sanah mengambil alih bebanan dan tanggungjawab keluarganya. Jadi, Sanah bersama dengan adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.

 

Sekian, terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

ENTRI 5 - DATO' DR. ZURINAH HASSAN : HATIMU AISYAH

ENTRI 6 - USMAN AWANG: DEGUP JANTUNG

ENTRI 4 - SITI ZAINON ISMAIL : BUNGA PUTIK PUTIH