ENTRI 5 - DATO' DR. ZURINAH HASSAN : HATIMU AISYAH

Selamat sejahtera, hari ini saya akan memperkenalkan seorang pengarang sastera yang bernama Zurinah Hassan.

 


    Dato' Dr. Zurinah Hassan merupakan seorang penyair wanita tanah air. Beliau juga terkenal dengan nama penanya iaitu Haniruz. Beliau merupakan seorang sasterawan negara pada yang ke-13 pada tahun 2015. Pada hari itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyampaikan anugerah tersebut kepada Zurinah Hassan dan beliau ialah wanita pertama yang menerima penghormatan tersebut. Dato' Dr. Dr Zurinah Hassan mula dikenali oleh orang melalui sajak beliau yang bertema ‘Sesayup Jalan’ yang dihasilkan pada tahun 1974. Beliau juga pernah menerima kejayaan lain dalam bidang kesusasteraan iaitu Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) 2004, Anugerah Puisi Negara-negara ASEAN 2013 dan Hadiah Sastera Perdana.

 


    Jadi, karya yang ingin saya perkenalkan ialah novel ‘Hatimu Aisyah’. Novel ini menggambarkan jurang generasi antara dua keturunan. Dato’ Dr Zurinah Hassan menggambarkan perjalanan hidup watak utama iaitu Aisyah dari saat dilahirkan sehingga ke saat menjadi orang tua. Novel ini diterbitkan pada tahun 1991 dan merangkumi 240 halaman. 

 

    Aisyah, seorang perempuan kampung yang hidup pada zaman selepas penjajahan Tanah Melayu. Dia telah dididik secara tradisional dan mesti akur dengan norma-norma masyarakat dan segala arahan orang tua. Sebagai contohnya, cara bergaul, gaya pakaian, pertuturan dan perkahwinan. Sejak kecil lagi, Aisyah telah diajar untuk melakukan semua kerja rumah dan menjaga adik-adiknya semasa tiada orang tua di rumah. Manakala anak lelaki pula tidak perlu melakukan apa-apa urusan rumah selain menolong ayah mencari rezeki dan duduk bersenang-senang di rumah sahaja. Walaupun Aisyah berasa tidak adil tetapi dia telah diajar untuk tidak cakap balik, jadi, dia terpaksa akur kepada ibu bapanya. Malah Aisyah tidak dapat memilih suami sendiri. Dia terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak berkenalan sejak usia muda.  Nasib baik, suaminya melayan Aisyah dengan baik.

 

    Apabila Aisyah membina keluarganya sendiri, suasana sudah berubah. Anak-anaknya menyanggah semua peraturan dan adat yang dipelajarinya dulu, menyoal jawab mengenai sesuatu yang meragukan, membantah peraturan dan adat yang lapuk dan usang. Pada mulanya, Aisyah berasa sangat sukar untuk dia menerima perubahan ini kerana gaya kehidupan pada zaman tersebut sangat berbeza dengan zamannya dahulu. Pemikiran orang tua pada zaman dahulu agak usang berbanding dengan orang muda yang terbuka pada zaman ini. Kesemua anak-anaknya berpeluang pergi ke sekolah walaupun anak perempuan. Aisyah tetap berpegang pada tingkah laku sendiri walaupun tindakannya yang menghantar anak perempuannya ke sekolah ditentang keras oleh ibunya. Ini kerana Aisyah sedar hanya pelajaran sahaja yang dapat menjamin kehidupan anak-anaknya pada masa depan.

 

    Akan tetapi, dia terpaksa mengikut arus pemodenan itu. Anak-anak Aisyah yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang telah meninggalkan kampung lama mereka dan berpindah ke bandar. Anak-anaknya bukanlah tidak sayang akan ibu dan ayahnya tetapi mereka memilih hidup mengikut arus kemodenan. Pada mulanya, Aisyah sangat sukar untuk menerima perubahan ini tetapi pada akhirnya dia hanya boleh menerima hakikat bahawa arus zaman sudah berubah meskipun dia berasa pilu dan tidak sampai hati melihat perpindahan anak-anaknya. Dia tetap berbangga kerana berjaya mendidik anak-anaknya walaupun menghadapi halangan seperti pandangan yang berbeza, petua dan pantang larang. Anak-anaknya tidak melupakan jasa Aisyah dan Ayub, iaitu suami kepada Aisyah malahan menanggung segala perbelanjaan mereka.

 

    Melalui novel ‘Hatimu Aisyah’, penulis ingin membawa mesej kepada pembaca bahawa kita boleh mengekalkan adat dan pantang larang yang bermanfaat dan bukan memudarkan supaya dapat menggunanya untuk mendidik generasi yang akan datang. Selain tu, kita haruslah belajar untuk mengubah diri kita, kita tidak harus mengekalkan diri kita dalam era yang sama sebaliknya membuat perubahan mengikut  zaman

 

Sekian, terima kasih. 

Comments

Popular posts from this blog

ENTRI 6 - USMAN AWANG: DEGUP JANTUNG

ENTRI 4 - SITI ZAINON ISMAIL : BUNGA PUTIK PUTIH